SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis akan dijadikan sebagai medan perang media sosial bagi memastikan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR ditewaskan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mengeluarkan infografik tentang kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji 100 hari dan polisi membebankan rakyat.
“Gerak kerja PRK Sg Kandis berbeza, tumpuan lebih kepada media sosial.
“Kita jadikan perang media sosial, setiap hari dua infografik akan keluarkan dan dikirim melalui whatsapp kepada 32,000 nombor telefon.
“Kita akan keluarkan isu kasut hitam, polisi pertama Menteri pendidikan, kita nak tunjukkan betapa parahnya pemimpin kerajaan hari ini,” katanya berucap pada Majlis Pengenalan Calon BN dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Selangor di Command Centre N49 di Kampung Sungai Kandis, di sini, malam ini.
Ismail Sabri berkata, sepanjang kempen, BN tidak lagi menganjurkan ceramah besar sebaliknya ia dilakukan secara kecil-kecilan sebanyak 19 ceramah di pusat daerah mengundi (PDM).
“Kita tidak lagi berceramah dalam PDM, tak boleh lagi ceramah di rumah ketua cawangan dan pemimpin semua peringkat.
“Kalau buat di rumah pemimpin, pengundi atas pagar tak akan datang,” katanya.
Katanya, dalam setiap ceramah akan diletakkan tokoh-tokoh berlainan parti untuk menunjukkan kerjasama antara UMNO dan Pas.
“Kalau boleh kita letak Setiausaha Agung UMNO dengan Setiausaha Agung Pas duduk sama dalam satu ceramah,” katanya.
Beliau berkata, undi pengundi di Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis adalah mewakili rakyat Malaysia untuk menunjukkan protes terhadap Kerajan PH yang mungkir janji pilihan raya lepas.
“Ini cara kita nak tunjukkan protes atau referendum rakyat dengan tidak boleh menerima penindasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette