Home Utama ‘Saya pernah teraju negara 22 tahun, tak pernah hutang RM1 trilion’

‘Saya pernah teraju negara 22 tahun, tak pernah hutang RM1 trilion’

Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad melambai tangan ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.
Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad melambai tangan ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata sepanjang 22 tahun meneraju negara dahulu beliau tidak pernah berhutang sampai mencecah RM 1 trilion walaupun dalam krisis ekonomi.

“Tidak ada bukti, kononnya hutang dulu lebih banyak dari kini. Dalam laporan tahunan terdahulu, tidak lebih RM300 bilion hutang negara yang hanya 27 peratus dari KDNK. Sila lihat dalam laporan tahunan antara 80 hingga 90-an ketika krisis kewangan.

“Jika yang berhormat (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – BN) yang boleh tunjukan saya angka-angka lain dan laporan tahunan yang lain, saya berterima kasih. Maknanya saya tidak betul.

“Tetapi saya ada di stu selama 22 tahun, saya agak ‘fasih’ sedikit sebanyak tahu tentang angka-angka, pertumbuhan kewangan hutang. Tidak pernah hutang RM42 bilion sekaligus.

“Tidak tahu pula RM42 bilion atau RM1 trilion itu jauh lebih kecil nilainya berbanding RM300 bilion itu. Dulu kita tidak pernah langsung perkataan ‘trilion’ ketika itu,” sindirnya.

Beliau berkata demikian ketika Ahmad Zahidi yang juga Ketua Pembangkang meminta apa rasionalnya Malaysia mahu mendapatkan pinjaman kewangan daripada Jepun yang mempunyai nilai mata wang yang lebih tinggi daripada ringgit.

Dalam pada itu, Mahathir menjelaskan, pinjaman kewangan daripada Jepun dapat mengurangkan kos hutang yang ditanggung kerajaan ketika ini.

“Pinjaman itu dapat mengurangkan high cost of money kerana kadar faedah hutang yang diambil kerajaan dahulu terlalu tinggi iaitu enam peratus.

“Goldman Sach pula diberi komisen 10 peratus daripada jumlah hutang. Ini bermakna kerajaan dahulu hanya mendapat 90 peratus daripada wang yang dihutang tetapi bayar faedah 100 peratus.

“Mata wang Jepun iaitu yen lebih murah daripada ringgit iaitu yen bernilai AS$ satu sen manakala RM1 bernilai AS$25 sen namun nilai yen yang rendah tidak bermakna hutang lebih murah.

“Kita akan pinjam yen sebanyak nilai yang kita hutang dahulu. Yen akan ditukar kepada dolar AS untuk bayar hutang dalam mata wang AS atau ringgit,” ujarnya.

Malaysia mengambil pinjaman sebelum ini dengan kadar faedah yang amat tinggi sehingga mencecah enam peratus dan ada juga orang yang menguruskan kredit itu mendapat komisen sehingga 10 peratus. – Malaysia Gazette