Home Sukan Ganjaran skuad Tok Gajah julang piala FA sebelum akhir tahun

Ganjaran skuad Tok Gajah julang piala FA sebelum akhir tahun

DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Pembayaran ganjaran kepada pasukan bola sepak Pahang yang menjuarai Piala FA 2018 akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia akan dilaksanakan kerana beliau sendiri yang menjanjikan pemberian ganjaran itu kepada pemain.

“Saya berjumpa dengan pemain dan pengurusan sehari sebelum perlawanan dan telah menyebut bahawa kerajaan negeri bercadang untuk memberikan sedikit ganjaran.”

“Cuma ia diberikan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri, iaitu seadanya dan akan dihulurkan sebelum hujung tahun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy menjawab soalan tambahan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin tahu jika kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada pasukan Tok Gajah yang menjuarai Piala FA selepas menewaskan Selangor di Stadium Bukit Jalil pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, menjawab soalan Lee Chin Chen (DAP-Bilut), Wan Rosdy memaklumkan bahawa terdapat 37 buah sekolah di Pahang yang disenaraikan sebagai ‘sekolah hot spot’ oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.- BERNAMA