Home Politik Kalau nak selamatkan tahfiz, undi saya – Lokman

Kalau nak selamatkan tahfiz, undi saya – Lokman

calon PKR dan BN sepentas
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) berkempen bersama Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam (kanan) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Tapak Pasar Malam, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 JULAI 2018.

KLANGĀ – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni tidak terkecuali berdepan risiko penutupan sekolah tahfiz yang diusahakan jika cadangan itu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun, di sini boleh diselamatkan jika calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dipilih menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

“Ustaz Zawawi ada mengusahakan sebuah tahfiz, kalau nak selamatkan tahfiz ini undilah saya, saya akan pertahankan tahfiz hingga ke titisan darah saya yang terakhir,” katanya ketika berkempen di Pasar Malam Taman Sri Andalas, di sini, hari ini.

calon PKR dan BN bertembung
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam (dua kiri) beramah mesra bersama Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga kiri) dan jentera parti PKR dan BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Tapak Pasar Malam, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 JULAI 2018.

Terdahulu suasana di sekitar pasar malam berkenaan bertukar menjadi gamat apabila Lokman bersama penyokong BN bertembung dengan Mohd Zawawi yang kebetulan membuat walkabout menyantuni pengundi di situ.

Bagaimanapun tiada sebarang perkara buruk berlaku bahkan Lokman mempelawa Mohd Zawawi bersama penyokong PH berkongsi pentas berkempen di tapak pasar malam terbabit.

Lokman selaku Presiden Pemantau Malaysia Baru juga mengulangi bahawa PRK Sungai Kandis merupakan referendum rakyat di seluruh negara untuk memastikan Kerajaan PH menepati janji pilihan raya 100 hari yang masih gagal ditunaikan.

“Sekiranya tuan puan berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan undilah sahabat saya, sama-sama Islam

“Tapi kalau tuan-puan tidak berpuas hati dan merasakan bahawa kita perlu lakukan sesuatu memberi isyarat supaya PH membetulkan perkara-perkara yang kita nampak tak betul, undilah saya,” katanya. – MalaysiaGazette