Home Politik PAS tolak kerjasama dengan BN di Sungai Kandis

PAS tolak kerjasama dengan BN di Sungai Kandis

Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – PAS menolak sebarang kerjasama termasuklah untuk duduk sepentas berceramah ataupun berkempen bersama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS tidak pernah mengadakan perbincangan dengan BN untuk pilihan raya kecil berkenaan.

“Kita tak ada perbincangan apa-apa pun tentang PRK ini (dengan BN) cuma kita buat keputusan tidak bertanding, itu saja. Kita tak turun berkempen sebab kita tak bertanding. Lepas tu daripada segi mengundi terserah kepada ahlilah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika waktu rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Komplek Kota Darul Naim.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mendakwa parti itu dan PAS sudah sepakat untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

PRK DUN Sungai Kandis yang merupakan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.- BERNAMA