Home Utama TASKA di tempat kerja mulai tahun depan

TASKA di tempat kerja mulai tahun depan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Bermula awal Januari tahun depan semua jabatan dan agensi  kerajaan perlu mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja masing-masing.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan supaya TASKA dapat diwujudkan di sekolah untuk kemudahan guru.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, keutamaan akan diberikan kepada agensi kerajaan yang mempunyai jadual kerja syif.

“Sektor awam, subsidi yuran pengasuhan TASKA di tempat kerja akan diberikan sebanyak RM180 sebulan bagi seorang anak kepada pegawai perkhidmatan awam berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 38 Tahun 2013.

“Untuk sektor swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut dari kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996 yang mana pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun untuk ubah suai dan penyenggaraan bangunan bagi penyediaan TASKA, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas) yang bertanya apa inisiatif  kerajaan mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak termasuk di rumah persendirian supaya tragedi penderaan tidak berulang.

Tambah Wan Azizah, kementerian juga telah menganjurkan Bengkel Pindaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta 308) pada 11 Julai 2018 bagi memantapkan kawal selia TASKA di seluruh negara.

“Kita komited dalam usaha ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengasuh dalam bidang berkenaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akanmembimbing pengasuh dan memberi maklumat mengenai Kursus Asuhan PERMATA dan program, seminar dan taklimat berkaitan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak melalui 42 agensi latihan yang diiktiraf oleh JKM.

“Kita sebenarnya mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa mengenai kepentingan dan kelebihan menghantar anak ke TASKA yang berdaftar dengan JKM,” ujarnya. –MalaysiaGazette