KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuat naik sekeping gambar di twitter menunjukkan beliau sedang makan mi segera mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial.
Ramai netizen berkongsi foto tersebut dengan rata-rata mengusik kehidupan seorang menteri yang turut makan makanan orang kebanyakan.
Antara yang berkongsikan gambar tersebut iaitu Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin.
Menerusi postingnya di Facebook Anina yang juga bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menulis;
“Menteri makan Maggi pikir jika Petronas bungkus kerana beri 20 peratus royalti.
“Azmin kata Petronas bungkus kalau beli 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
“Kesian, menteri sampai kena makan maggi! “Tolong simpati kepada pejuang abadi ini,” tulisnya.
Mohamed Azmin menerusi posting pada Twitternya berserta gambar yang dimuat naik itu semalam berkata;
“Selepas bekerja sepanjang hari, ayah akhirnya menggunakan masa berkualiti dengan makan Maggi,” tulisnya.
Gambar yang dikongsikan Anina itu mendapat banyak komen daripada rakan-rakan Facebooknya.
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, komen-komen yang diberikan bersifat negatif terhadap bekas Menteri Besar Selangor itu. – MalaysiaGazette