SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam adalah ahli politik yang amat berwibawa dan memiliki keilmuan yang mendalam, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang hampir separuh hari dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari turun berkempen membantu BN berkata, Presiden Pemantau Kerajaan Baharu (Pemantau) itu seorang yang lantang bercakap dan sesuai jika diberi peluang berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Inilah orang yang kita perlukan untuk di DUN Selangor bagi memastikan perjalanan demokrasi di negeri ini berjalan dengan matang dan sihat.
“Perwatakannya lantang bercakap dan bernas berhujah dalam mengeluarkan pendapat. Kehadirannya dalam DUN Selangor boleh membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis, dekat sini, hari ini.
Najib yang tiba di Pusat Kawalan BN di Sungai Kandis pada jam 8.45 pagi bersarapan bersama jentera, yang turut menyambut hari ulang tahunnya, sebelum menziarahi penduduk dari rumah ke rumah.
Ditanya hasil perjumpaannya dengan penduduk, Najib berkata, sambutan yang diterimanya begitu mesra sekali.
Katanya, beliau telah meminta mereka memberi sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam demi untuk generasi akan datang.
“Saya juga mendengar keluhan mereka, yang mana ramai rasa kecewa dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sebab banyak janji-janji mereka tidak ditunaikan,” katanya.
Beliau berharap dengan tempoh kempen berbaki sembilan hari lagi, program mendekati rakyat berjalan dengan sihat dan positif. – MalaysiaGazette