KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) merancang untuk menyekat perkahwinan bawah umur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan akan mengemaskini prosedur keizinan perkahwinan bawah umur.
Ini kerana katanya, ia berkaitan dengan Undang-undang Syariah di peringkat negeri dan Undang-undang Sivil yang membenarkan perkahwinan bawah umur dengan kebenaran.
“Kita secara serius cuma melihat kemungkinan akta dipinda samada Undang-undang Sivil atau Undang-undang Syariah yang mengharamkan perkahwinan bawah umur.
“Perancangan jangka panjang adalah penting di mana perkahwinan dengan kanak-kanak harus dilarang.
“Ia semestinya dihalang tapi kerajaan menghadapi beberapa masalah teknikal, kena pinda undang-undang. Jadi ini yang harus dihadapi kerajaan untuk selesaikan masalah teknikal, kita tidak terus boleh haramkan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Mujahid sebelum ini berkata, undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur itu sudah jelas yang mana negara ini menetapkan seseorang yang ingin berkahwin mestilah berusia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Katanya, isu sekarang adalah mengenai keizinan berkahwin membabitkan mereka yang berkahwin bawah umur seperti termaktub dalam undang-undang di negara ini.
“Perkara itu patut dihentikan dan diharamkan sama sekali. Dengan berbuat demikian maka kita akan berdepan banyak pihak.
“Kalau buat begitu, ini pertama kali kita lakukan sedemikian,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengulas mengenai isu perkahwinan pelajar 11 tahun dengan lelaki 41 tahun di Kelantan yang tular baru-baru ini.
Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan warga Thailand dengan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu tersebar luas dan mengundang reaksi pelbagai pihak.
Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga warganegara Thailand. -MalaysiaGazette