SEPANG – Tiada keperluan untuk Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan penginapan percuma bagi “jemaah transit” kerana penambahbaikan perkhidmatan telah dilakukan bermula musim haji tahun ini.
Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata antara penambaikan yang dilakukan termasuk penerbangan transit terus dari lapan stesen berlepas lain.
“Kini bakal jemaah transit daripada stesen lain tidak perlu keluar dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ke Kompleks TH Sepang kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, pada musim-musim haji terdahulu, TH menyediakan kemudahan penginapan percuma di Kompleks TH Kelana Jaya kepada para bakal jemaah haji transit dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit awal yang melebihi satu hari sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci.
“Pada musim ini TH telah bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk mengatur jadual penerbangan jemaah dari stesen lain ke KLIA. Ini akan membolehkan bakal jemaah hanya perlu menunggu dua ke tiga jam sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya.- BERNAMA