KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang dalam proses untuk memindahkan beberapa akta berkaitan pengguna setelah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula mulai September ini.
Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, bahagian perundangan kementeriannya sedang meneliti proses itu selain jangka masa pemindahan akta berkaitan.
Katanya, kementerian itu akan mengumumkan kepada orang ramai apabila tiba masa yang sesuai kelak.
“Bahagian Perundangan KPDNHEP telah memberi taklimat kepada saya mengenai perincian butir butir pindaan akta berkaitan pengguna serta garis masa yang diperlukan.
“Itu bidang yang kami sedang teliti dan akan umumkan apabila sampai masanya nanti..adalah tidak lengkap sesuatu cukai SST berjalan tanpa pindaan akta-akta berkaitan pengguna,” katanya ditemui selepas melancarkan Kempen “Jimat Poket Setiap Hari!”.
Kempen itu menyaksikan penurunan harga barang di premis itu sehingga hujung tahun ini untuk memastikan pengguna tidak dihimpit kenaikan harga barangan seluruh negara.
Ditanya mengenai penguatkuasaan KPDNHEP selepas pelaksanaan SST, Saifuddin berkata pemantauan harga dan penguatkuasaan tidak terhad kepada jenis cukai yang dikenakan kerajaan.-MalaysiaGazette