Home Nasional Hanipa anggap tiga Ahli Parlimen pembangkang melucukan

Hanipa anggap tiga Ahli Parlimen pembangkang melucukan

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menyindir  tiga Ahli Parlimen pembangkang yang dianggap melucukan ekoran menyerang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Dengan menamakan ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menyifatkan mereka sebagai pelakon komedi dalam rancangan realiti ‘Maharaja Lawak’.

Menerusi postingnya di Facebook, Hanipa berkata, Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau telah menyerang kerajaan PH atas isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Baginya kepentingan rakyat berpendapatan rendah perlu diambil kira dalam hal itu.

“Dalam perbahasan di Parlimen semalam, YB Rembau bangkit isu GST bagi menyerang Kerajaan PH. Beliau kata langkah PH hapuskan GST menyalahi pendapat pakar ekonomi seperti akauntan dan lain-lain.

“Jika boleh bertanya semalam, saya nak tanya begini ‘Baguslah YB sibuk dengan pendapat seperti pakar akauntan, pendapat rakyat bawahan yang ‘terjerut leher’ mereka dengan GST, macam mana? YB tak mahu ambil kira sekali ke?” katanya.

Menegur pula, tindakan Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Hanipa berkata, langkahnya bertanyakan sama ada larangan untuk membincangkan skandal mega tersebut oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini masih lagi digunapakai, membuatkan hatinya berasa lucu.

“Saya rasa nak tergelak. Apapun, percubaan yang baik YB (Kuala Krau).

“Cuma nak kata bila mantan MO1 (Malaysian Official 1) pun kini sudah boleh didakwa berkaitan isu 1MDB, keberanian YB Kuala Krau itu cuba berusaha nak jarakkan isu 1MDB dari Parlimen memang satu adegan yang amat menghiburkan sepertimana terhiburnya kita menonton Maharaja Lawak,” sindirnya.

Bagaimanapun, paling dianggap melucukan dalam perbahasan semalam apabila Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat ‘fatwa songsang’ apabila menuduh wakil rakyat PH sebagai menggagalkan 1MDB.

“Sebab? Mereka semua sabotaj 1MDB. Saya rasa IMDB pun terkejut dengan ‘fatwa’ tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette