KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan menyusul terhadap pengusaha dan peniaga sekiranya pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) disusuli dengan peningkatan harga akhir barang keperluan pengguna mulai September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri da Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab penguatkuasa kementerian untuk bertegas dalam melindungi kebajikan dan hak pengguna.
“Cukai SST bukan satu yang baru di negara kita kerana itulah yang kita kenal sebelum GST diperkenalkan lagi pada 2015.
“Tempoh pelaksanaan dahulu kita tahu kekuatan dan kekurangan cukai yang dijalankan kerajaan yang mana SST adalah cukai satu lapis kepada sumber pengeluar dan rangkaian berikutnya tak dikenakan cukai berbanding berbanding GST yang merupakan cukai berlapis, sebab itu pendapatan kerajaan meningkat.
“Manakala laksanakan SST iaitu cukai satu lapis tak seharusnya diikuti peningkatan harga akhir kepada pengguna dan jika itu kalau itu berlaku maka tanggungjawab pihak penguatkuasa KPDNKK akan dilipatgandakan,” katanya kepada pemberita di Kepong hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Jimat Poket Setiap Hari melibatkan penurunan harga ketara 500 jenis barang keperluan pengguna sepanjang tahun ini oleh Pasaraya Besar AEON Big Kepong di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, jelas beliau, inisitif Jimat Poket Setiap Hari oleh pasaraya besar itu adalah tepat pada masa dan tepati situasi semasa pengguna berdepan cabaran kenaikan harga.
“Kebelakangan ini masyarakat cakap kos sara hidup tinggi minyak dan petrol. kalau pasaraya besar seperti ini tampil dengan kempen Jimat Poket Setiap Hari sudah tentunya membantu rakyat berjimat kocek mereka dan bijak berbelanja dan merancang perbelanjaan mereka.
“Inisiatif AEON Big ini membuktikan bahawa pihak peniaga sebenarnya boleh memainkan peranan dan mengurangkan harga itu tidak sampai merugikan pendapatan perniagaan mereka.
“Barang terpilih yang ditawarkan itu mempunyai perbezaan harga paling besar keuntungan ketara sehingga ada yang sampai empat ringgit untuk minyak masak dam beras 10 kilogram diskaun sehingga RM3.
“Perbezaan harga inilah memberi kesan dan isyarat kepada rakyat bahawa kalau pasaraya besar mampu menurunkan harga barang,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu, pihak pengurusan AEON Big bijak membuat kajian dan kenalpasti barang keperluan yang menerima sambutan ramai untuk dijual murah.
“Ini jelas menunjukkan mereka boleh menjual dengan bergantung kepada jumlah produk dan bukan marjin pendapatan semata mata.
“Ini isyarat baik dan harus disambut pemain pasar raya sama kelas yang saya tahu ada empat hingga lima pemain besar pasaran sebegini,” tegas beliau.