SHAH ALAM – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mendakwa, gambarnya digunakan oleh penganjur pesta durian yang dikritik oleh Bersih 2.0 tanpa kebenarannya.
Mohd Zawawi berkata, program anjuran sebuah koperasi berkaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor itu dijadual berlangsung di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
“Saya difahamkan ia sudah ditangguhkan hingga selepas pilihan raya. Mereka meletakkan wajah saya pun tanpa kebenaran dan makluman kepada saya.
“Program itu juga pun bukan anjuran kami, bukan anjuran bilik gerakan, bukan anjuran parti dan ia berada di DUN Kota Kemuning.
“Cuma ada pihak-pihak tertentu cuba menganjurkan program tanpa menghubungi kami dan kemudian mereka menyebarkan (poster). Salah faham ini tidak wajar berlaku sekali lagi,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan PKR di Taman Perindustrian Bukit Kemuning, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Bersih 2.0 semalam yang mengkritik penganjuran pesta durian yang bakal dirasmikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan menampilkan Mohd Zawawi sebagai jemputan khas program itu.
Bersih 2.0 dalam kenyataan itu turut menyebut program itu adalah satu amalan korupsi dan bertentangan Perkara 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana melibatkan penjamuan untuk mempengaruhi undi daripada para pengundi.
Mohd Zawawi juga bersetuju dengan tindakan penganjurnya yang menangguhkan pesta durian itu selepas PRK Sungai Kandis kerana ia hanya akan menimbulkan salah faham khususnya kepada dirinya sendiri.
“Walaupun kita tiada kaitan dengan program tersebut, ada baiknya kalau ia ditangguhkan sebab program itu boleh menimbulkan salah faham,” katanya.
Ditanya tentang kemungkinan Mohd Zawawi akan mengambil tindakan terhadap penganjur menggunakan wajahnya tanpa kebenaran dalam poster program berkenaan, beliau bagaimanapun enggan berbuat demikian.
“Oleh kerana mereka setuju untuk tangguh, kita tidak akan ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Katanya, beliau bersetuju dengan kritikan Bersih 2.0 bahawa program berkenaan mempunyai unsur rasuah dan boleh mempengaruhi pengundi untuk memberi undi kepadanya dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
“Kita setuju apa yang diutarakan oleh Bersih 2.0,” katanya. – MalaysiaGazette