SHAH ALAM – Janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh parti Pakatan Harapan (PH) ketika kempen PRU 14 yang lalu antara faktor rakyat memberi kemenangan untuk mentadbir kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, belum sampai 80 hari memerintah, Kementerian Pendidikan bawah kerajaan baharu PH telah memungkiri janjinya kepada peminjam, yang kononnya bayaran akan ditangguhkan sehingga gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan ketika mendedahkan perkara itu berkata, rakyat terutama golongan peminjam PTPTN selama ini ditipu oleh pemimpin PH yang hanya melihat kepentingan untuk mengambil alih pusat pentadbiran Putrajaya, daripada memikirkan untuk menunaikan janji yang ditabur.
“Hari ini sudah masuk hari ke-78 kerajaan PH. Kami menilai satu demi satu janji Buku Harapan kepada rakyat terutamanya golongan muda. Antara yang menjadi perhatian ialah isu PTPTN.
“Memang seronok golongan muda mendengar janji berkempen PH yang menangguhkan bayaran balik sehingga gaji bulanan mencecah RM4,000. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri (Dr Maszlee Malik) sejurus selepas beliau dilantik mengetuai Kementerian Pendidikan.
“Isu inilah yang menjadi ‘turning point’ golongan muda untuk memilih kerajaan Malaysia yang baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Bagaimanapun, jelas Zahida Zarik, nada berbeza timbul selepas PH membentuk kerajaan apabila Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menyatakan, kajian masih lagi dilaksanakan dan kemungkinan besar janji itu tidak dapat dilaksanakan.
Katanya, lebih teruk lagi tidak data spesifik dikeluarkan dan ini menunjukkan kelemahan pertama pihak kerajaan baharu secara teknikal dari segi kutipan dengan mendakwa kerajaan kerugian RM155 juta sehingga Mei 2018, berbanding kutipan RM400 juta berakhir 2017 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Lebih menyedihkan, ujar beliau, apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ning Ching mendedahkan seramai 429, 945 peminjam akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen akibat kegagalan membayar balik pinjaman.
“Bagi golongan muda yang ‘baru belajar untuk hidup’, perkara ini semestinya membebankan. Mereka memilih kerajaan baharu dengan harapan kehidupan mereka akan menjadi lebih selesa dan bertambah baik.
“Tetapi rupanya, mereka umpama ‘tikus makmal’ yang digunakan sebagai alat ujikaji kerajaan Pakatan Harapan.
“Mesej kami kepada Putrajaya, cukup-cukuplah mempermainkan rakyat. Golongan muda ini bukan pengundi yang boleh dijual-beli. Bila berjanji, janji mesti ditepati,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kegagalan menunaikan janji adalah wajah sebenar kerajaan PH setelah dicabut topengnya dan berusaha pula mencari pelbagai alasan kononnya manifesto bukan kitab suci. – MalaysiaGazette