KUALA LUMPUR – Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman hari ini membuat keputusan meletak jawatan selepas beliau menganggap tidak ada kesuburan dalam demokrasi di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
Beliau mendakwa, terdapat segelintir pemimpin PKR di negeri itu yang mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme.
Menurutnya, terdapat pemimpin parti itu yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.
“Secara jelas jawatan-jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit.
“Dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya, kelulusan, kebolehan, pengalaman dan sumbangan kepada perjuangan seharusnya menjadi kriteria penting.
“Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Hirarki parti tidak lagi dihormati. Walaupun terdapat nama-nama yang sudah sekian lama berjuang dan dicadang secara rasmi dari peringkat cabang, mereka yang tidak sependapat akan dikesampingkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Syed Badli turut mendakwa, sikap mementingkan kroni semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberikan habuan dari segi jawatan.
Katanya lagi, dasar reformasi dan keadilan jelas menghilang dengan cara yang diamalkan segelintir pemimpin terbabit.
Ujarnya, sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.
Malah katanya, budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam Keadilan Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.
Lebih malang lagi jelasnya, apabila mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah.
“Apa yang berlaku telah merosakkan parti yang seharusnya membawa wadah perjuangan reformasi.
“Saya menggesa kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat untuk campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah,” tegasnya. – MalaysiaGazette