Home Seni Hidup Tiada istilah lewat jadi anak seni – Betto Khai

Tiada istilah lewat jadi anak seni – Betto Khai

Sesi fotografi bersama penyanyi, Betto Khai di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Tiga tahun telah menceburi dunia seni, khalayak tentunya masih kurang mengenali siapa penyanyi bernama Betto Khai ini.

Kini mula popular dengan lagu Terpisah Jua Akhirnya menerusi single kedua, Betto yakin dia belum terlewat untuk meneroka ruang hiburan biarpun sudah lama menyanyi sejak usia 14 tahun.

Pemilik nama sebenar Mohammad Khairul Masian memberitahu, sebelum ini arwah bapanya tidak menggalakan dirinya untuk menjadi anak seni.

Betto Khai kini muncul dengan single kedua berjudul Berpisah Jua Akhirnya.
Betto Khai kini muncul dengan single kedua berjudul Terpisah Jua Akhirnya.

Malah, kata bapa tunggal kepada dua anak itu, kebetulan selepas pemergiaan arwah bapanya tu, bekas isterinya pula menjadi inspirasi sehingga mengeluarkan single pertama Anugerah Cinta tiga tahun lalu.

“Saya tidak rasa fikir terlewat untuk memasuki bidang seni secara serius. Saya yakin umur dan status diri tidak akan menjadi penghalang.

“Walaupun saya sedar perlu bersaing dengan penyanyi muda yang sudah ada nama, saya percaya rezeki dari Allah SWT dan sudah ditetapkanNya,” kata yang berkunjung ke Studio Malaysia Gazette baru-baru ini.

MGF20072018_BETTO KHAI_01
Usia 32 tahun dan bergelar duda bukan penghalang buat Betto Khai.

Betto yang merupakan anak kelahiran Klang, Selangor itu berkata, sambutan hebat single Terpisah Jua Akhirnya bagaikan memberi semangat baharu dalam hidupnya.

Keunikan vokal jiwang dimilikinya menjadi pertaruhan dan memberi ‘roh’ apabila kini menerima 300,000 jumlah tontonan di YouTube.

Menarik nafas lega, anak ke-15 daripada 16 beradik itu bersyukur dengan populariti lagu mendahului namanya sebagai penyanyi.

Katanya, itu adalah perkara positif yang menjadi kayu ukur terhadap kejayaan karya dihasilkan sendiri oleh dirinya.

MGF20072018_BETTO KHAI_05
Betto Khai juga memiliki bakat menghasilkan lagu.

“Sebagai penyanyi baharu, saya gembira dengan populariti dikecapi lagu ini. Penglibatan dalam industri adalah untuk menjual karya, bukan nama. Saya puas, kerana objektif itu tercapai.

“Terima kasih buat pendengar yang menyokong. Maklum balas positif menandakan lagu tersebut berkualiti dan sesuai untuk semua golongan menikmatinya,” katanya yang memilih nama Betto kerana meminati pemain legenda Brazil, Roberto Carlos.

Jika didengar lebih teliti, bait-bait lirik Terpisah Jua Akhirnya itu menggamit jiwa dan meruntun perasaan.

MGF20072018_BETTO KHAI_04
Betto Khai belum lagi terfikir menamatkan zaman duda buat masa sekarang.

Mengulas lanjut, Betto menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah nukilan istimewa yang berkisar hidupnya yang mengalami keruntuhan rumah tangga.

Berkahwin pada usia 27 tahun dan bercerai tiga tahun kemudian, Betto percaya dengan ketentuan takdir dan pasti ada hikmah di kemudian hari.

“Saya masih solo dan tidak terfikir untuk menamatkan zaman duda buat masa sekarang.

“Selagi cita-cita saya menjadi penyanyi yang dikenali di negara ini tidak tercapai atau menjadi komposer berjaya, soal mencari calon pengganti isteri tidak timbul,” katanya yang kini bekerja di sebuah syarikat automatif di bahagian komponen. – MalaysiaGazette

TERIMA KASIH TAJAAN:

BUSANA: QIF ALVAREZ (011-23588940)

SOLEKAN: ANIES NURWANIE (017-2241252)

2 Komen

Comments are closed.