PETALING JAYA- Ketidaktentuan pasaran dijangka berkurangan dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, keadaan pasaran akan kembali pulih apabila Bajet 2019 dibentangkan Oktober ini.
“Apabila Bajet 2019 dibentangkan pada Oktober, mungkin ketika itu kerajaan sudah ada (dasar) halatuju ekonomi, apa yang menjadi pemacu pertumbuhan dan sebagainya.
“Saya jangka ketidaktentuan ekonomi ketika ini akan berlanjutan sehingga Oktober,” katanya semasa menjawab soalan mengenai kesan peralihan kerajaan selepas 9 Mei dalam Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018 di sini hari ini.
Jelas Shahril, walaupun ketidaktentuan pasaran selepas peralihan kerajaan memberi kesan kepada pasaran tempatan ditambah dengan faktor luaran ianya hanya bersifat sementara kerana peralihan kerajaan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia akan memberi manfaat pada masa panjang.
Katanya, kejatuhan pasaran tempatan hanya disebabkan pelabur asing keluar sementara kerana tidak pasti mengenai halatuju ekonomi Malaysia selepas kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Tetapi dari segi jangka panjang ianya akan memberi manfaat kerana kestabilan boleh dicapai apabila dasar-dasar di dalam negara bersifat centrist (pertengahan) kerana dipengaruhi oleh kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang Barisan Nasional.
“Kita akan menjadi lebih baik sekiranya tidak terlalu ekstrim ke kanan (kerajaan) atau ke kiri (pembangkang).
“Saya juga berpendapat, rakyat Malaysia secara umumnya mahu rasuah diperangi dan saya rasa kerajaan sekarang betul-betul mahu melaksanakannya.
“Ini akan memberi kesan yang sangat positif pada jangka masa panjang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette