Home Ekonomi Tengku Zafrul nafi khabar angin ketuai Khazanah

Tengku Zafrul nafi khabar angin ketuai Khazanah

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz

PETALING JAYA- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menafikan khabar angin beliau mengetuai Khazanah Nasional Bhd.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018 di sini hari ini, beliau menegaskan, fokusnya kini meneruskan pelan strategik CIMB yang bermula sejak tahun 2014, Program T18 (Target 2018).

“Sekarang matlamat saya adalah untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan dan seperti yang saya katakan tadi, kami berada di landasan yang betul untuk mencapainya,” katanya sambil menambah tidak didekati oleh mana-mana pihak bagi berbincang mengenai perpindahannya ke Khazanah Nasional Bhd.

Sayap pelaburan negara itu antara pemegang saham utama CIMB dengan menguasai kira-kira 29 peratus kepentingan.

Sebelum ini, Tengku Zafrul bersama beberapa ahli korporat lain dikatakan antara nama yang sedang disenarai untuk menggantikan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar selepas kontraknya tamat pada pertengahan tahun  2019.

Bagaimanapun, sejak peletakan jawatan mengejut kesemua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional termasuk Azman sendiri beberapa hari lalu, nama Tengku Zafrul kembali menjadi perbualan.

Tengku Zafrul sebelum ini pernah mengetuai Maybank Investment Bhd. sebelum menyertai CIMB Group Holdings Bhd. -MalaysiaGazette