AMPANG – Rafizi Ramli hari ini mendedahkan empat sebab beliau mencalonkan dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijangka diadakan akhir bulan depan.
Menurut beliau, sokongan padunya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan merupakan salah satu faktor beliau memilih untuk bertanding.
“Percayalah Anwar akan jadi perdana menteri kelapan selepas ini. Beliau memerlukan satu pasukan kepimpinan 100 peratus terhadapnya.
“”Saya bukan taksub kepada Anwar tetapi jika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapat mandat penuh barisan kepemimpinan parti.
“Kita tidak mahu ada kepemimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain,” katanya.
Naib Presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap pada sesi memperkenalkan calon yang akan bertanding pada pemilihan PKR pada Ogos di Hotel De Palma di sini hari ini.
Rafizi seterusnya berkata, sebab kedua beliau mahu bertanding adalah PKR perlu berazam untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri yang gagal dikuasai iaitu Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan termasuk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2020.
Katanya, sebagai parti memiliki kerusi terbesar dalam PH, PKR tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan parti.
“Jika kita terus dengan cara kerja kita seperti sebelum menjadi kerajaan, saya yakin PKR boleh menang 70 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” ujarnyanya.
Rafizi menegaskan, beliau mahu PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ yang merupakan perkara feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas, menjadikan perkara itu faktor ketiga beliau mahu bertanding.
Malah, pengalamannya yang luas dalam bidang korporat dan mahu membantu ahli akar umbi terutama memperkasa ekonomi mereka dengan bercadang menubuhkan koperasi anggota PKR memperlengkapkan kesemua sebab beliau bertanding jawatan timbalan presiden.
“Kita boleh tubuhkan koperasi anggota PKR. Jika kita ada sejuta ahli, dalam setahun kita ada modal berbayar RM50 juta dan boleh mewujudkan banyak aktiviti ekonomi untuk cipta peluang pekerjaan kepada anak reformis.
“Kita akan minta Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wujudkan koperasi. Nanti boleh beri skim kredit mikro kepada ahli tanpa perlu bergantung kepada kerajaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette