Home Utama Akhirnya Kula Segaran mohon maaf

Akhirnya Kula Segaran mohon maaf

Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Selepas menerima kritikan hebat berhubung kenyatan Melayu adalah pendatang di sebuah majlis di Nilai baru-baru ini, M. Kula Segaran akhirnya membuat permohonan maaf.

Meskipun begitu, Naib Presiden DAP itu masih mempertahankan kenyataan yang menyebabkan beliau menjadi kontroversi telah disalah anggap.

“Saya dengan ini secara tidak langsung meminta maaf atas salah faham dan menarik balik semula rujukan yang sumbang dalam ucapan spontan.

“Saya bukan dan tidak pernah menjadi kontroversi mengenai isu-isu bangsa dan agama di dalam negara kita dan akan sentiasa mematuhi apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kata-kata seperti sesumpah – yang boleh menimbulkan perbezaan maksud apabila diucapkan dalam bahasa berlainan.

“Untuk mengelakkan ia berlarutan, saya telah membuat keputusan untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu untuk mengelakkan kontroversi daripada semakin teruk,” ujarnya.

Sebelum ini, Kula Segaran telah menafikan laporan media mengenai kenyataannya yang mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.

Dalam satu kenyataan beliau, Menteri Sumber Manusia itu mendakwa pandangan beliau telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.

Penafian Kula Segaran itu tidak menghentikan kritikan pelbagai pihak, malah media dan netizen terus melakukan pembandingan terjemahan kenyataan yang dibuat dalam bahasa Tamil itu.

Dan, terjemahan yang dibuat oleh pelbagai pihak itu jelas menunjukkan kenyataan yang dibuat oleh Kula Segaran mempunyai maksud yang sama. – MalaysiaGazette