Home Ekonomi Aliran keluar pelabur asing RM498.4j minggu lalu

Aliran keluar pelabur asing RM498.4j minggu lalu

Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research

KUALA LUMPUR – Momentum aliran keluar asing di Bursa Malaysia meningkat semula pada minggu lalu membabitkan sejumlah RM498.4 juta.

Angka itu merupakan dua kali ganda berbanding jumlah yang dilupuskan pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur-pelabur global adalah penjual bersih pada setiap hari minggu lalu.

Jualan asing adalah yang terendah pada hari Isnin iaitu sejumlah RM28.1 juta, nilai terendah dalam sehari sejak 26 April 2018 kerana selera risiko adalah kukuh berikutan kenyataan Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai 402 projek
dengan cadangan pelaburan RM75 bilion setakat Mei 2018.

Menurutnya, kadar pelupusan asing kemudian meningkat pada hari Selasa dan Rabu, masing-masing kepada RM129.1 juta dan RM244.2 juta meskipun China meluaskan rangsangan fiskal.

Paras jualan asing kembali meningkat kepada RM35.7 juta pada hari Khamis.

Sentimen bangkit semula susulan perjanjian antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menggantung tarif perdagangan ketika melakukan rundingan halangan yang lebih rendah untuk perdagangan transatlantik.

Pelabur antarabangsa menjual lebih sedikit pada hari Jumaat kepada RM61.3 juta kerana perhatian kembali kepada China selepas rancangan Amerika Syarikat untuk meneruskan perbincangan perdagangan dengan Mexico dan Kanada.

MIDF Research berkata, Julai merupakan bulan ketiga yang menyaksikan aliran keluar lebih perlahan pada tahun ini dengan jumlah pelupusan setakat Jumaat lalu ialah RM1.98 bilion.

Malaysia masih menyaksikan aliran keluar paling rendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dijejaki walaupun jumlah terkumpul mencecah paras RM9 bilion.

Penyertaan pasaran dalam kalangan pelabur-pelabur asing, peruncit dan institusi dana masih kukuh, katanya.

Nilai purata dagangan harian pelabur asing meningkat dalam kebanyakan minggu sebnayak 8.7 peratus kepada RM1.15 bilion. – MalaysiaGazette