LONDON – David Luiz mengubah fikiran untuk meninggalkan Chelsea apabila memilih untuk kekal di Stamford Bridge selepas kehadiran pengurus, Maurizio Sarri.
Musim lalu, pemain antarabangsa Brazil itu kurang mendapat perhatian bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte.
Gara-gara itu, dia berhasrat untuk angkat kaki jika Conte terus kekal dengan The Blues.
Luiz dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan pulang semula ke Benfica sebelum pemergian Conte.
Namun ketibaan Sarri meyakinkan dia untuk terus memperkuat kelab gergasi England itu.
“Saya kembali semula ke Chelsea untuk kekal lama di sini.
“Apabila saya datang ke sini dari Paris, impian saya adalah memenangi Liga Perdana Inggeris dan melakukan sesuatu bersama Chelsea.
“Saya gembira berada bersama kelab ini. Saya ada banyak masa menjaga diri sendiri musim lalu dan kini cergas 100 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette