KUALA LUMPUR – Dasar-dasar dan program untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera akan terus diperkukuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Ini kerana, pencapaian Bumiputera masih lagi rendah, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat masih tidak mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti, pendapatan purata isi rumah Bumiputera pada tahun 2016 adalah rendah iaitu RM6,267 berbanding bukan Bumiputera sebanyak RM8,213.
Malah, peratus kategori pekerjaan mahir antara kaum atau inter etnik pada tahun 2017 bagi Bumiputera adalah sebanyak 29.4 peratus berbanding bukan Bumiputera sebanyak 36.3 peratus dan peratus transaksi pemilikan kediaman Bumiputera dalam pasaran
primer pada tahun 2016 adalah 38.8 peratus (nilai bersamaan RM5.63 bilion) berbanding bukan Bumiputera sebanyak 56.7 peratus (nilai bersamaan RM8.23 bilion).
Manakala dalam jenis pemilikan komersil, peratus transaksi Bumiputera hanyalah 9.8
peratus (nilai bersamaan RM0.21 bilion) berbanding bukan Bumiputera iaitu 46 peratus (nilai bersamaan RM1.01 bilion), katanya.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang bertanyakan adakah pembangunan ekonomi Bumiputera yang digerakkan zaman Kerajaan Barisan Nasional akan diteruskan atau sebaliknya oleh Pakatan Harapan.
Pada masa ini, kerajaan sedang membuat penilaian semula ke atas usaha-usaha yang telah dijalankan serta sedang merangka strategi, inisiatif serta halatuju baharu bagi meningkatkan lagi pembangunan ekonomi Bumiputera.
Penilaian dan perancangan dilaksanakan merangkumi strategi pertumbuhan ekuiti yang menjadi tunjang dasar pengagihan untuk menghapuskan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.
Kerajaan juga sedang mendapatkan kerjasama agensi-agensi dan pihak berkepentingan bagi input untuk merangka dan menambahbaik dasar pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih holistik. – MalaysiaGazette