PUTRAJAYA – Para graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) disaran untuk sentiasa meneroka kemahiran dan ilmu baharu yang relevan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, ia penting agar mereka dapat bergerak seiiring dengan transformasi digital seperti teknologi robotik supaya kekal relavan dengan keperluan industri.
Katanya, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan menyediakan kerangka Hala Tuju IR 4.0 yang akan menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk jangka masa pendek, serderhana dan jangka panjang.
“Graduan ILJTM perlu berfikiran terbuka dan rasional serta bersedia menerima perubahan atau cabaran baharu demi memajukan diri. Dalam keadaan ekonomi tak menentu ini sudah pasti cabaran dan kekangan mendapatkan pekerjaan idaman terhad dan persaingannya juga kuat.
“Maka graduan muda perlu berusaha memperbaiki kemahiran komunikasi dan meningkatkan produktiviti diri supaya mendapat tempat di dalam pasaran kerja.
“Selain itu tingkatkan kemahiran penguasaan Bahasa Inggeris kerana ia adalah lingua franca dan dpat berkomuniksi dengan baik di alam pekerjaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis Konvokesyen ILJTM Kementerian Sumber Manusia Ke-23 2018 bertemakan ‘TVET ke arah Kecemerlangan Negara’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Seramai 7,323 graduan menamatkan pengajian pada tahun ini termasuk 1,283 graduan dari ILJTM Sabah dan Sarawak.
Menurut Kula Segaran, pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan kepada graduan ILJTM dengan syarat mereka tidak terlalu memilih dan mementingkan soal gaji semata-mata.
Tambah beliau, Kula Segaran kreativiti dan inovasi dikenalpasti sebagai proses kritikal yang dapat membantu menjana ekonomi negara disamping memastikan graduan kekal relevan dan para graduan perlu mempraktikkan segala kemahiran, ilmu dan latihan yang dipelajarinya di alam pekerjaan untuk berjaya. – MalaysiaGazette