KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini masing-masing menarik balik perintah ikat jamin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di sini, dua tahun lalu.
Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali dan Haslinda A. Raof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim dan Raihanah Abd Razak untuk menarik balik jaminan masing-masing berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan memohon perintah ikat jamin itu ditarik balik kerana khuatir Jamal akan melarikan diri sekali lagi.
Berikutan itu, mahkamah membatalkan jaminan terhadap Jamal bagi kedua-dua kes ceroboh itu dan bagi kes melarikan diri dari hospital, perintah tidak membenarkan Jamal diikat jamin dikekalkan.
Dengan keputusan ini, Jamal, yang hadir ke mahkamah berpakaian kot lengkap dan bersongkok dengan tangan bergari ke belakang serta diiringi anggota polis, kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya selesai.-BERNAMA