Home Nasional Keputusan gugur kes banglo Guan Eng 3 September ini

Keputusan gugur kes banglo Guan Eng 3 September ini

Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan mengetahui sama ada kes rasuah mereka berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran digugurkan atau diteruskan pada 3 Sept ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mendengar kes itu memerintahkan supaya Jabatan Peguam Negara memaklumkan kepada mahkamah keputusan representasi yang dikemukakan Lim dan Phang untuk menggugurkan pertuduhan terhadap mereka pada tarikh tersebut.

“Tarikh 3 Sept ditetapkan untuk pengurusan kes bagi maklumkan apa-apa keputusan mengenai representasi. Itu final, pihak pendakwaan sila ambil perhatian, sebab mesti ada noktah untuk jawapan bagi representasi,” kata Hakim Hadhariah.

Terdahulu peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim memberitahu pihaknya telah mengemukakan representasi tersebut kepada jabatan itu pada 6 Julai dan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud juga mengesahkan bahawa representasi bagi kedua-dua tertuduh diterima jabatan itu pada hari sama.

?Bagaimanapun pihak kami memerlukan masa sebulan untuk mempertimbangkan representasi itu,? kata Abdul Rashid.

Peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Phang tidak membantah terhadap masa sebulan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Lim yang kini Menteri Kewangan tidak hadir manakala Phang tiba di mahkamah pada 8.45 pagi.

Pada 9 April lepas, perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang ditangguhkan berikutan Lim perlu membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) walaupun penangguhan itu dibantah pihak pendakwaan dan mahkamah menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes itu.

Pada 21 Mei lepas, selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14, Lim dan Phang melalui peguam masing-masing memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyemak pertuduhan ke atas mereka seterusnya menggugurkan pertuduhan itu.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan representasi itu.

Setakat ini hanya dua hari perbicaraan kes itu berlangsung pada 26 dan 27 Mac lepas kerana pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan kes atas alasan Lim dan seorang lagi peguam yang mewakili Lim ketika itu Gobind Singh Deo mahu menghadiri sesi pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018.

Sehingga kini pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi dan dijangka memanggil 29 lagi saksi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, Ramkarpal ketika ditanya media mengapa permohonan representasi itu mengambil masa yang lama, beliau berkata ia merupakan prosedur dalaman Jabatan Peguam Negara dan turut menyatakan representasi yang dikemukakan pihaknya untuk menggugurkan pertuduhan Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu adalah komprehensif.

Berhubung desas desus yang menyatakan kes tersebut telah ditarik balik, Ramkarpal berkata “sepanjang yang saya tahu, ia adalah tidak benar,”katanya.

Sithambaran pula menambah beliau juga telah mengemukakan representasi yang komprehensif yang mengandungi laporan pakar dan laporan penilaian kepada jabatan berkenaan. — BERNAMA