KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk mengenakan sekatan ke atas kenderaan import bagi melindungi kepentingan kereta nasional terutama Proton Holdings Berhad (Proton) merupakan langkah keterbelakang.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad menyifatkan tindakan itu tidak tepat bagi landskap industri kenderaan.
Malah, ia juga bertentangan dengan liberalisasi pasaran automotif bagi mewujudkan pasaran kondusif yang menggalakkan firma-firma auto untuk bersaing dalam kesetaraan keupayaan dan peluang.
“Liberalisasi pasaran adalah pendekatan ke hadapan bagi industri auto. Jika mahu mencipta industri auto yang kondusif, maka ia perlu meliberalisasikan pasaran,” kata Aishah selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini.
Jelasnya, Malaysia merupakan negara pasaran terbuka dan seharusnya tidak mengenakan sekatan-sekatan umpama itu.
Lagipun, mengambil kira Proton dimiliki oleh syarikat swasta, justeru itu kerajaan sepatutnya memberi layanan yang sama kepada semua pembuat kereta di negara ini seperti mana di Thailand dan Indonesia, menurut laporan Theedgemarket.com.
“Proton bukan lagi milik kerajaan, jadi layanan kepada semua sepatutnya sama.
“Sepatutnya kerajaan menyediakan peluang yang sama. Ambil contoh kejayaan Thailand dan Indonesia yang mempunyai strategi kukuh,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan kereta nasional baru, Aishah berkata, kerajaan perlu menimbang semula rancangan itu dengan melakukan kajian kebolehlaksanaan.
Ini kerana, cadangan itu melibatkan perbelanjaan modal yang cukup besar.
“Kita tidak mahu lagi ada insentif besar buat kereta nasional kerana ia mengganggu industri,” ujarnya. – MalaysiaGazette