KUALA LUMPUR – “Biar pun ramai menuduh saya tidak menyokong Proton, ini hakikatnya adalah tidak benar.
“Harus saya nyatakan bahawa kerajaan saya telah menyediakan geran R&D (pembangunan dan penyelidikan) sebanyak RM1.1 bilion dan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton, itu pun hanya apabila mereka membuktikan mempunyai pelan mampan yang mampu dilaksanakan,” katanya menerusi posting terbaharu di Facebook.
Najib berkata, sebelum hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi rengang, beliau telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri itu untuk melaksanakan projek kenderaan elektriknya.
Katanya, melalui permintaan Mahathir, satu geran bernilai RM270 juta diberikan kepada Proton pada tahun 2010 bagi menjalinkan satu kerjasama perniagaan dengan sebuah syarikat di United Kingdom dimiliki rakannya, Kamal Siddiqi yang berpengkalan bagi memajukan kereta dan lori elektrik.
“Bagaimanapun, pelaburan ini gagal dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak menyalurkan lagi dana. Ini turut menyebabkan kemarahan Mahathir.
“Sambil memberi sokongan kepada Proton, saya berpendirian bahawa rakyat tidak seharusnya menanggung masalah Proton dan syarikat itu perlu bersaing pada keupayaan sendiri sebagaimana dilakukan Perodua.
“Jika Perodua mampu menjadi jenama kereta paling teratas di negara ini, tiada alasan untuk Proton untuk tidak mencapai kedudukan yang sama,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, laporan terkini menunjukkan bahawa Malaysia mungkin akan berpatah balik kepada polisi 1980 dan 1990 an dan perkara itu adalah amat membimbangkan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan baharu untuk membuat pertimbangan sewajar-wajarnya kerana pelaksanaannya akan pasti membebankan rakyat sekali lagi.
“Malaysia adalah penandatangan kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas. Meningkatkan perlindungan akan turut mencetuskan tindak balas daripada negara lain.
“Ini akan menyebabkan harga barang lebih tinggi yang perlu dibayar rakyat Malaysia dan eksport yang kurang kompetitif daripada pelbagai industri negara ini.
“Tidak seharusnya hanya beberapa pihak tertentu dan terpilih yang diberi keutamaan berbanding rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Najib mengakui bahawa janji terhadap pengurangan harga kereta di zaman pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tidak menyeluruh ke atas semua kenderaan.
Ia berlaku berikutan banyak kebimbangan disuarakan oleh pelbagai pihak termasuk bank, penjual kereta terpakai dan nilai aset isi rumah, namun harga beberapa model kereta menurun sebanyak 30 peratus.
Bagaimanapun, langkah tersebut digantikan dengan banyak projek pengangkutan awam bagi memberikan pengguna membuat pilihan pengangkutan.- MalaysiaGazette