Home Nasional ADUN Seri Setia kurang sihat, sedang berehat di rumah – Azmin

ADUN Seri Setia kurang sihat, sedang berehat di rumah – Azmin

Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin disahkan kurang sihat dan kini sedang berehat di rumah, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau ketika ditemui malam ini mendoakan agar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu segera sihat seperti sedia kala.

“Perkara ini (sakit yang dialami Dr Shaharuddin) tidak mustahil namun beliau perlu menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor. Saya harap kita terus mendoakan beliau agar segera sembuh,” katanya kepada pemberita, di sini malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pejabat exco akan memaklumkan kepadanya mengenai tahap kesihatan semasa ADUN berkenaan dalam masa terdekat.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Dr Shaharuddin sedang tenat akibat kanser kolon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Shaharuddin menang kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff dengan 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas S. Vigneswaran (217).

— BERNAMA