PETALING JAYA – Syarikat pengendali sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Bestinet Sdn.Bhd menafikan pihaknya terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan pengubahan wang haram.
Pengarah Bestinet, Datuk V. Rathakrishnan berkata, dakwaan itu berpunca hasil salah faham kerajaan Nepal mengenai peranan dan fungsi Bestinet dalam proses kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Katanya, daripada 10 proses kemasukan pekerja asing ke Malaysia, Bestinet hanya bertanggungjawab menguruskan proses kedua iaitu pemeriksaan kesihatan dengan bayaran RM100 seorang untuk memastikan pekerja sihat dan bebas sebarang penyakit atau jangkitan .
“Bestinet sebenarnya dilantik Kementerian Dalam Negeri untuk menguruskan proses kedua sahaja iaitu menguruskan pemeriksaan kesihatan pekerja itu dengan pengambilan cap jari biometrik bagi rekod data kesihatan yang mematuhi piawaian kesihatan Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Rathakrishnan, Bestinet tidak terlibat dalam proses pelepasan Sekuriti Imigran (ISC), Visa Luar Negara (VLN) atau khidmat OSC (One Stop Centre).
“Ia sekaligus menunjukkan segala perkara itu yang dikaitkan dengan kami sebelum ini tidak benar,” katanya lagi.
Beliau juga menafikan segala dakwaan laporan Nepalitimes yang syarikatnya mengenakan caj untuk pengimbasan pasport, cap jari dan memuat naik data dalam talian seperti dakwaan beberapa portal berita di negara itu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran mengenai tindakan kerajaan Nepal yang menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.
Rathakrishnan berkata, pihaknya bakal mengadakan pertemuan dengan Kula Segaran dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara sebenar.
“Menteri (Kula Segaran) mungkin menerima maklumat salah mengenai peranan kami (Bestinet) dalam proses pengambilan pekerja asing ke negara ini.
“Apa yang berlaku sebelum dan selepas proses pemeriksaan kesihatan oleh kami ke atas pekerja asing ialah di luar pengetahuan syarikat ini.
“Kami tidak mempunyai maklumat sama ada pekerja asing ditipu oleh ejen merekrut atau dieksploitasi oleh majikan itu,” tegasnya.
Dalam isu yang sama, Rathakrishnan mengakui Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor yang dikenali sebagai Datuk Seri Amirul merupakan pengasas dan juga pemegang saham terbesar syarikat itu.
Namun beliau menolak dakwaan kononnya pengasas syarikat itu mempunyai hubungan sebagai abang ipar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi menteri KDN seperti didakwa sebelum ini.
Dalam pada itu Penasihat Undang-Undang Bestinet Datuk N. Sivananthan berkata pihaknya belum mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas pihak yang mengkritik syarikat itu berasaskan sumber laporan media asing di Nepal.
“Kami sudah memberikan penjelasan mengenai peranan sebenar kami dalam pekerja asing. Jika masih ada pihak yang mahu mempertikaikan kami, tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka di negara sumber itu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette