KUALA LUMPUR – Sebanyak 39,408 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan sejak 1 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan kes HFMD berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun katanya, penyakit itu masih terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenainya.
Jelas beliau, penyakit itu juga berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran serta mudah menular dalam kalangan kanak-kanak kecil berumur tujuh tahun ke bawah.
“Penularan wabak ini berlaku kerana wujudnya amalan kebersihan diri serta persekitaran. Antara tempat tumpuan termasuk taska, tadika, tabika dan pra sekolah.
“Memandangkan Malaysia sedang mengalami bilangan kes semakin meningkat, ianya amat serius. Kami juga sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan serta sedang melaksanakan pelbagai kempen kesedaran,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuki Shaary tentang statistik terkini wabak penyakit HFMD dan apakah langkah yang sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan agar ia tidak sampai ke tahap kritikal.
Dzulkefly memberitahu, bagi menangani peningkatan kes HFMD, kerajaan telah memperkenalkan kempen pelaksanaan lima amalan mengawal dan mencegah jangkitan penyakit terbabit.
Katanya, amalan itu ialah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, saringan di pintu masuk taska atau sekolah dan nyah kuman permukaan yang tercemar.
Sesiapa sahaja berisiko mendapat jangkitan HFMD tetapi kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mudah mendapat jangkitan dan jangkitan boleh berulang disebabkan virus yang berbeza.
HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat disusuli kurang selera makan sebelum dalam masa sehari dua, luka atau ulcer di mulut akan muncul.
Ada kanak-kanak mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang mungkin melepuh, ruam boleh terjadi kepada lutut, siku atau bahagian bawah badan kanak-kanak.
Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan selain daripada kekeringan badan atau dehidrasi mudah terjadi disebabkan sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit mulut. – Malaysia Gazette