Home Nasional Jamal bebas dengan ikat jamin RM20,000

Jamal bebas dengan ikat jamin RM20,000

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Datuk Seri Jamal Md. Yunos dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 selepas tertuduh membuat permohonan semakan jaminan hari ini.

Hakim, Datuk Yazid Mustafa yang membuat keputusan itu juga memerintahkan supaya jaminan berkenaan dibuat oleh tiga  orang penjamin.

Jamal diwakili peguam yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, menarik balik perintah ikat jamin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bagi pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di Kuala Lumpur pada dua tahun lalu.

Melalui laporan Malaysiakini, pihak pendakwaan memohon perintah ikat jamin itu ditarik balik kerana khuatir Jamal akan melarikan diri sekali lagi.

Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di Kuala Lumpur.

Jamal juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3.30 dan 3.40 petang, 29 Disember 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jamal turut didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Hospital KPJ Ampang Puteri antara jam 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette