Home Utama MH370: Azharuddin letak jawatan

MH370: Azharuddin letak jawatan

Azharuddin Abdul Rahman
Datuk Azharuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Datuk Azharuddin Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam.

Menurut Azhar, perletakan jawatannya adalah susulan daripada Laporan Siasatan Keselamatan MH370 yang dikeluarkan semalam.

“Walaupun laporan tersebut tidak menyatakan insiden kehilangan MH370 adalah disebabkan oleh DCA tetapi terdapat beberapa penemuan yang mengaitkan kemalangan tersebut dengan kecuaian operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur.

“Menurut laporan tersebut, Pengawal Trafik Udara (ATC) tidak mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP).

“Dengan itu,  selepas memikirkan sedalam-dalamnya, saya dengan rasa kesal mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi CAAM berkuatkuasa dari tarikh notis yang saya telah serahkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azharuddin, beliau telah melakukan sehabis baik semasa pencarian MH370 dan sedih apabila terpaksa meninggalkan tugasnya ketika misteri kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines itu masih belum terungkai.

“Sejak empat tahun lalu, saya telah mencuba sedaya upaya untuk membantu pencarian MH370 dan mahu menemui jawapan kepada tragedi yang menyayat hati ini dan kami masih berhutang kepada keluarga dan orang yang menyayangi mangsa.

“Berkhidmat kepada industri penerbangan selama lebih 40 tahun merupakan penghormatan tertinggi dalam hidup saya, saya memohon maaf kerana tidak mampu menunaikan amanah sehingga habis tempoh perkhidmatan,” katanya.

Penerbangan MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 hilang dari radar selepas keluar dari laluan asal.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dipercayai telah terhempas di Lautan Hindi bagaimanapun bangkainya masih belum ditemui sehingga kini walaupun pelbagai usaha pencarian telah digerakkan sejak empat tahun lalu.-MalaysiaGazette