Home Utama CPP tidak bayar hutang 1MDB

CPP tidak bayar hutang 1MDB

logo 1MDB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – China Petroleum Pipeline Engineering Co. Ltd (CPP) menafikan dana-dana yang diperoleh daripada dua projek saluran di Malaysia telah digunakan untuk membayar hutang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut CPP, semua dana-dana dari Export-Import of China (Exim Bank China) hanya dibayar terus kepada akaun-akaun bank CPP.

“Ia bertepatan dengan peraturan perbankan anti penggubahan wang haram yang ketat, peraturan dan perjanjian perundangan yang ditandatangani.

“Tidak ada dana yang dibayar kepada mana-mana syarikat dan/atau syarikat pihak ketiga yang berpangkalan di Pulau Cayman. Apa-apa tuduhan atau kenyataan yang sebaliknya adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

CPP berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua di BBC yang mendakwa kemungkinan kaitan antara 1MDB dan projek saluran minyak di Kedah dan Sabah.

Sambil menyifatkan kenyataan itu ‘mengandungi maklumat palsu mengenai projek saluran paip di Malaysia’, CPP meminta media memastikan laporan tepat dan tidak dipengaruhi atau ditekan oleh sumber yang tidak dinamakan bagi melaporkan maklumat palsu mengenai syarikat tersebut.

Dalam wawancara itu, Pua berkata, Kementerian Kewangan percaya dana itu telah diguna untuk membayar hutang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pua adalah Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam wawacara itu, beliau dipetik sebagai berkata, projek-projek berkenaan mempunyai elemen penipuan memandangkan kerja-kerja belum dijalankan, hanya kajian perundingan yang sudah selesai.

Pua mendakwa Malaysia memberi dana kepada syarikat China dan mengesyaki ia disalurkan kepada pihak-pihak yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, terdapat dakwaan projek pelbagai saluran (MPP) dan saluran gas Trans-Sabah (TSGP) dianugerahkan kepada syarikat yang ada kaitan dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low adalah individu yang paling kehendaki dalam siasatan kes berkaitan 1MDB.

Projek-projek ini telah diberikan kepada Suria Strategic Energy Sdn Bhd (SSER), anak syarikat kementerian kewangan milik penuh yang ditubuhkan pada tahun 2016. – MalaysiaGazette