KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya dapat menguatkuasa kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, ini kerana kerajaan memerlukan masa yang lebih lama untuk melaksanakannya.
Jelas beliau, pelbagai proses perundangan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara keseluruhan.
“Memang sasaran kita adalah untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 tetapi akan dilaksanakan dalam masa lima tahun, jadi soal kenaikan kadar adalah perkara kedua.
“Jadi buat masa ini kita akan memberi tumpuan kepada menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya berjaya menawan Putrajaya. – MalaysiaGazette