KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat adalah tempat untuk membawa isu dan permasalahan rakyat serta bukannya tempat wakil rakyat menunjukkan kejantanan atau keberanian apatah lagi menghina pihak lain dalam dewan mulia itu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahrul Nasrun Kamaruddin menegaskan, jika sikap itu ditunjukkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, adalah lebih elok beliau meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat dan menyertai gelanggang gusti.
“Sekiranya Rayer benar-benar mahu menunjukkan kejantanan, saya sarankan Rayer melepaskan jawatan Ahli Parlimen Jelutong dan sertai perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC). Saya pasti ramai yang inginkan Rayer sebagai “sparring partner” mereka.
“Dewan Rakyat adalah tempat untuk membawa isu dan permasalahan rakyat. Justeru, Ahli-Ahli Parlimen khususnya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diminta untuk menjaga adab sepanjang perbahasan kerana setiap perilaku serta ucapan di dalam Dewan Rakyat sedang dipertontonkan dan dinilai oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di ini hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Rayer menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ ketika penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri sehinggakan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming bertindak memberi amaran kepada Ahli Parlimen Jelutong itu.
Menurut Shahrul, Rayer perlu sedar tanggungjawab yang dipegang adalah lebih besar iaitu membawa permasalahan rakyat daripada mencelah dengan membangkitkan isu-isu yang tidak relevan.
“Daripada sikap kurang ajar dan biadap Rayer, adakah Ahli Parlimen Jelutong ini sedar dirinya bergelar Ahli Yang Berhormat. Adakah Rayer tahu lagak samseng yang ditunjukkan boleh menyebabkan rakyat hilang rasa hormat kepada wakil rakyat?
“Rayer wajib tahu dirinya dipilih bagi membawa suara rakyat bukannya untuk menunjukkan kejantanan atau keberanian apatah lagi menghina pihak lain di dalam Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Tambah Shahrul, aksi cabar-mencabar dengan kata-kata kurang enak dan kurang sopan selain kenyataan bersifat provokasi telah menjadi rutin perbahasan dalam Dewan Rakyat.
Namun perlulah ada batasan kerana apa jua tindak tanduk mereka mencerminkan identiti sebagai kerajaan hari ini.
“Sikap segelintir Ahli Parlimen PH mengganggu dan mencelah ucapan Ahli Parlimen pembangkang (BN) dengan mengaitkan isu-isu yang tidak berkaitan dan sentiasa melanggar peraturan mesyuarat dilihat amat memualkan.
“Malah tidak keterlaluan saya katakan Ahli Parlimen PH bersikap tidak matang dan gagal untuk berperanan sebagai kerajaan.
“Sejak bermulanya usul perbahasan bagi menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong, saya cukup tertarik melihat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
“Bagi saya Rayer begitu komited mencelah di setiap ucapan Ahli Parlimen BN sehinggakan isu yang dibangkitkan tidak sampai disebabkan masa terbuang kerana gangguan yang dicipta oleh Rayer,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette