KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan disebut-sebut akan menerajui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Sumber-sumber berkata, Shahril Ridza antara nama yang sedang dipertimbangkan untuk menduduki kerusi Pengarah Urusan Khazanah selepas Tan Sri Azman Mokhtar melepaskan jawatannya.
Azman bersama lapan lembaga pengarahnya menawarkan diri melepaskan jawatan masing-masing pada 26 Julai lalu bagi memastikan peralihan di bawah kerajaan yang baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.
Pengarah-pengarah Khazanah yang lain termasuk Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Tan Sri Andrew Sheng, Datuk Dr Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah yang baru.
Selain dirinya, empat yang lain ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Sukhdave Singh dan Goh Chin Ying.
Manakala pengganti Azman dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Shahril telah menerajui KWSP sejak 16 April 2013, menggantikan Tan Sri Azlan Zainol yang memegang jawatan berkenaan sejak 16 April 2001.
Sebelum pelantikan beliau, Shahril merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan KWSP sejak 2009.
Menurut sumber lagi, jika pelantikan Shahril ke Khazanah, kemungkinan besar salah seorang daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP akan mengambil alih kerusi yang diduduki sekarang.
Sementara itu, sumber berkata, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan dikekalkan.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz dilantik sebagai Pengerusi PNB menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Baru-baru ini, Tan Sri Md Nor Md Yusuf mengesahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Datuk Seri Zukri Samat sebagai Pengarah Urusan. – MalaysiaGazette