KUALA LUMPUR – Perbelanjaan yang tinggi serta kokurikulum yang tidak bertepatan dengan semangat cintakan negara menjadi penyebab sewaan kem latihan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi mahal.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendakwa, berlaku ketirisan daripada perbelanjaan program berkenaan serta penyelenggaraan yang perlu diperbaiki dan dilihat semula.
“(Sebanyak) 43 peratus daripada perbelanjaan adalah untuk sewa kem, bukan untuk kokurikulum dan lain-lain.
“Kalau nak teruskan kena tengok perbelanjaan, kenapa sewa kem, sewa bas begitu mahal dan apa hala tuju belia selepas PLKN, adakah capai apa dikehendaki,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tujuan tersebut, kata Mohamad, satu jawatankuasa di bawah kementeriannya sedang ‘berhempas pulas’ membuat kajian semula untuk dibentangkan ke Kabinet.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan keputusan akhir untuk membatalkan program PLKN.
Bagaimanapun katanya, jika terdapat desakan agar program tersebut diteruskan, kerajaan akan memastikan kos operasinya tidak terlalu tinggi sepertimana dilakukan oleh pentadbiran lepas.
“Manifesto PH menetapkan PLKN akan dibatalkan kerana dianggap tak memenuhi objektif yang digariskan dan penuh dengan pembaziran.
“Namun mengambil kira pandangan ibu bapa, bekas pelatih dan agensi kerajaan berkaitan, satu kajian semula sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan bagi menilai keberkesanan dan implikasi penutupan PLKN sebelum sebarang keputusan akhir dibuat,” ujarnya.
Langkah tersebut kata beliau, termasuk kemungkinan untuk diadakan pengubahsuaian dan penjimatan jika terdapat keperluan untuk meneruskan program itu.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota raja berkata, bermula sejak 2004 program PLKN telah menggunakan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM8.43 bilion dalam tempoh 14 tahun.
Katanya, bermula pada tahun berkenaan juga seramai 885,956 belia dilatih dan 356,411 bekas pelatih menyertai briged sukarelawan khidmat negara yang ditubuhkan agar mereka meneruskan sumbangan tenaga secara sukarela.
“Beberapa kajian bebas telah dilaksanakan bagi menilai keberkesanan PLKN dan hasilnya mendapati ada peningkatan positif bagi dari segi patriotisme dan integrasi nasional dalam diri pelatih,” katanya.
Menerusi manifesto PH, program PLKN akan dihapus kerana didakwa membazir serta tidak memberi impak yang besar kepada golongan masyarakat. – MalaysiaGazette