KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji semula penetapan harga runcit gula sedia ada serta dasar-dasar pemberian lesen pengimportan (AP) kepada syarikat-syarikat pengeluar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, langkah itu dilakukan agar harga runcit gula selari dengan perubahan harga gula dunia.
“Penetapan harga runcit gula dibuat berdasarkan harga gula mentah dunia serta mengambil kira kos-kos seperti kos pentadbiran, kos operasi kilang penapis, logistik serta margin pengilang, pemborong dan peruncit bagi memproses gula mentah kepada gula bertapis.
“Dengan mengambil kira kos-kos yang terlibat seperti yang telah dinyatakan, kementerian berpandangan bahawa adalah mustahil harga jualan runcit gula putih dapat diturunkan pada kadar RM1.50 sekiogram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Pang Hok Liong (DAP-Labis) yang meminta KPDNHEP menyatakan sama ada kementerian sedia mengeluarkan lebih AP kepada syarikat-syarikat pengimport gula supaya harga gula dapat diturunkan sehingga kadar RM1.50 sekilo atau lebih rendah.
Mengulas lanjut berkata, Chieng Jen pada masa ini, harga gula di Malaysia juga merupakan antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN.
Dengan memberikan contoh beliau berkata, di Indonesia, gula dijual pada harga RM3.58 sekilogram manakala Vietnam RM4.41 sekilogram dan Singapura pada kadar harga RM4.65 sekilogram. – MalaysiaGazette