Home Politik Rakaman suara Anwar palsu – Fahmi Fadzil

Rakaman suara Anwar palsu – Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KLANG – Rakaman suara mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah palsu. 

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan ia ditimbulkan untuk tujuan memecah belahkan sesama pemimpin menuju pemilihan parti. 

Beliau menyanggah rakaman itu milik suara ketuanya dengan hujah sebutan Anwar yang berbeza dalam rakaman. 

“Setelah meneliti klip-klip audio tersebut, saya mendapati terdapat beberapa elemen seperti bunyi sebutan perkataan yang berbeza dari cara sebutan biasa DS Anwar Ibrahim. 

“Oleh itu, klip-klip audio itu adalah palsu dan berniat memecahbelahkan serta menanam rasa syak wasangka di kalangan ahli Keadilan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu beliau yakin semakin banyak fitnah bakal timbul menjelang pemilihan parti pada November depan. 

“Semakin hampir kita dengan pemilihan parti, semakin banyak bahan-bahan palsu yang akan disebar luaskan.

“Keadilan akan terus memantau sebaran maklumat, dan saya memohon media untuk berhubung dengan Komunikasi Keadilan untuk pengesahan sebarang maklumat berkaitan pimpinan atau perjalanan pemilihan Keadilan,” tambah beliau. 

Terdahulu tersebar rakaman suara mirip Anwar yang didakwa mengkritik Azmin dan Dr. Mahathir ekoran spekulasi wujud halangan kemajuan politik Anwar yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Antara lain, rakaman itu memperdengarkan suara seorang yang menyifatkan Azmin, sebagai ‘barua Mahathir’. – MalaysiaGazette