Home Nasional Menteri dedah punca peminjam tak bayar hutang Tekun

Menteri dedah punca peminjam tak bayar hutang Tekun

Mohd Redzuan Md Yusof

KUALA LUMPUR – Sikap peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan disebabkan kegagalan kerajaan terdahulu membuat perincian secara jelas.

Perkara itu didedahkan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof apabila memberitahu kegagalan tersebut berpunca akibat kos faedah yang terpaksa dibayar terlalu tinggi.

“Apa yang kita lihat dari segi pengurusan Tekun, kos yang tidak nampak telah membebankan pembayar apabila mereka mengambil pinjaman skim Tekun.

“Saya lihat secara kasar ada usahawan terpaksa bayar balik sebagai contoh pinjaman RM20,000 menyebabkan kos pinjaman lebih 25 peratus, kita juga akan kaji kenapa kos pinjaman sampai 25 peratus itu sebab peminjam tidak mahu bayar balik,” katanya.

Mohd. Redzuan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Seri Mustapa Mohamed (BN) yang ingin tahu pendekatan kerajaan Pakatan Harapan memastikan disiplin peminjam membuat bayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji semua cara pemberian skim Tekun oleh kerajaan lepas kerana terdapat kelemahan berlaku.

“Daripada segi pengurusannya, pembahagian skim-skim pinjaman ini, tidak mengikut normal praktik, kita tidak persalahkan sesiapa, tapi skim ini kita perhalusi dan buat penambahbaikan supaya penerima mampu bayar balik,” jelasnya.

Mohd. Redzuan turut memaklumkan secara keseluruhan kos perbelanjaan pengurusan Tekun amat tinggi sehingga mencecah RM100 juta. – MalaysiaGazette