KUALA LUMPUR – Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa, langkah kerajaan Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah memberi peluang kepada pemilik saham syarikat itu mendapat keuntungan dan pampasan berlebihan.
Bekas menteri besar Selangor itu menegaskan, pada masa sama ia turut meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.
“Saya juga percaya kerajaan hari ini akan mengkaji semula atau mungkin menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang telah dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan pada 2008 yang lalu.
“Saya doakan agar rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan yang besar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Khalid, beliau tidak terperanjat dengan pengumuman itu kerana ia sememangnya antara penyebab beliau diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014.
Katanya, langkah tersebut adalah disebabkan kecenderungan pimpinan PKR yang mahukan tawaran tinggi diberikan kepada SPLASH.
Tambah beliau, pembelian Syarikat SPLASH oleh Syarikat Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion dimuktamadkan dan ia telah menjadikan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh Kerajaan negeri pada 2013.
Dalam satu majlis di Subang petang tadi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengumumkan mengambil alih SPLASH pada harga RM2.55 bilion.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata harga tersebut adalah selepas mendapat diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun iaitu RM3.54 bilion. – MalaysiaGazette