KLANG – Barisan Nasional (BN) akan menjadi pembangkang yang kuat jika ada pertambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor, kata Khairy Jamaluddin.
Bagi menyahut cabaran Pakatan Harapan yang mahu BN menjadi pembangkang yang relevan maka BN perlu terus menambah suara wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, termasuklah pada dua lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Balakong dan Seri Setia.
“Pakatan Harapan sendiri kata Malaysia baharu ini perlu ada sistem demokrasi duo parti. Mereka kata pembangkang mesti jadi pembangkang yang kuat, pembangkang mesti jadi pembangkang yang berwibawa barulah Kerajaan Pakatan Harapan ada saingan.
“Di Selangor pembangkang hanya ada empat kerusi BN, 1 Pas, di Selangor kita (BN) tidak boleh jadi kerajaan atau pembangkang yang berwibawa, di negeri Selangor kita tidak boleh jadi pembangkang yang kuat.
“Dengan ada seorang lagi Sungai Kandis, seorang lagi Balakong, seorang lagi Seri Setia, barulah rakyat selamat, barulah suara rakyat didengari kalau tidak dalam DUN semua majoriti ADUN Pakatan Harapan,” katanya ketika berucap di program Ceramah Rakyat bertajuk ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas malam tadi.
Sekalipun jika BN menang di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos nanti, ia tidak akan mengubah Kerajaan Negeri Selangor.
Tetapi, ia bakal membuka ruang dan meningkatkan peluang BN menjadi semakin kuat sebagai pembangkang yang akan mengimbangi dan menjadi saluran rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Harapan, kata Khairy.
“Sungai Kandis tidak akan mengubah kerajaan, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat sahut kehendak kerajaan Pakatan Harapan yang mahu kepada pembangkang yang kuat, yag berwibawa,”tambah Ahli Parlimen Rembau itu.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan setelah penyandangnya Shuhaimi Shafie meninggal dunia pada 2 Julai yang lalu akibat kanser limfoma.
Sementara PRK Balakong pula diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 8 September sebagai hari mengundi selepas ADUN Ng Tien Chee maut selepas terlibat dalam kemalangan.
Semalam, ADUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada jam 6.28 petang Khamis kerana kanser kolon. -MalaysiaGazette