Home Nasional Guan Eng dedah maklumat separuh masak

Guan Eng dedah maklumat separuh masak

Ahmad Zahid Hamidi wizard frogs PAS UMNO Abdul Hadi Awang ducks Mohd Puad Zarkashi Parti Kuasa Rakyat politics
Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didakwa terus mengamal politik bocor berikutan pendedahan ‘separuh masak’ tentang pakej gaji yang diterima oleh bekas Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, pendedahan Guan Eng yang tidak terperinci dan tiada menunjukkan salah laku semata-mata untuk mengalih parhatian rakyat daripada janji PH yang dibuat sebelum memenangi Pilihan Raya Umum.

Hakikatnya, kata beliau, pakej ganjaran yang diterima oleh Arul Kanda Kandasamy itu adalah bayaran sekaligus kerana beliau tidak boleh menuntut faedah bulanan yang lain.

“Apa yang tidak djelaskan, Arul menerima elaun yang kurang berbanding semasa bekerja dengan sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu sebelum ini.

“Arul mengambil alih tanggungjawab (dalam 1MBD) daripada pengurusan sebelumnya demi negara. Ia ada misi khas dan bersyarat.

“Arul menunaikan tanggungjawabnya apabila berjaya mengurangkan hutang 1MDB daripada RM50 bilion kepada RM30 bilion. Tidak ada salah laku dalam pembayaran elaun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sepatutnya, kata Mohd Puad, Kerajaan PH mengarahkan 1MDB supaya melunaskan baki RM2.5 juta lagi yang belum dibayar kepada Arul.

Tambahnya, dalam menghadapi situasi semasa pun, Arul tidak pernah menyalahkan pengurusan sebelumnya, bukan seperti Guan Eng.

“Sudahlah janji tidak ditunaikan tetapi suka menyalahkan orang lain pula,” katanya sambil menyifatkan Guan Eng tidak layak terima elaun Menteri kerana gagal menurunkan harga minyak.

Mohd Puad turut mencabar Guan Eng yang disifatkan suka menyalahkan orang lain melalui pendedahan ‘separuh masak’ di Parlimen supaya berani membersihkan dirinya melalui proses mahkamah.

“Jangan jadi pondan dengan berharap kesnya digugurkan untuk membersihkan diri. Beliau tetap akan dilihat tidak bersih kerana tidak berani membersihkan dirinya melalui perbicaraan,” ujarnya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bersama ahli perniagaan  Phang Li Koon  menghadapi pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Guan Eng dan Phang telah mengemukakan representasi untuk menggugurkan kes berkenaan dan keputusannya akan diketahui pada 3 September ini.

Lantaran itu, Mohd Puad berkata, ahli-ahli Parlimen pembangkang wajar membawa usul di Dewan Rakyat supaya gaji Menteri Kewangan itu di potong RM10 sahaja kerana mendakwa beliau makan gaji buta sedangkan harga minyak tidak turun, tol tidak dihapuskan dan ringgit yang terus merudum.

Malah, dakwa Mohd Puad, Guan Eng yang memperbesar-besarkan isu hutang negara yang didakwa melebihi RM1 trilion, secara senyap menambah hutang negara dalam tempoh 3 bulan kerana menerbitkan bon sebanyak RM22 bilion. – MalaysiaGazette