SHAH ALAM – Jangan hanya jadi wakil rakyat yang muncul dan bawa orang kenamaan melihat pengundi sahaja menjelang pilihan raya kecil.
Anak jati Bukit Kemuning, Yuzlizawati Mahad, 33, (gambar bawah) berkata, siapa sahaja yang bakal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis yang baharu pada Sabtu ini perlu menjalankan tugas secara konsisten.
“Saya perasan satu benda sahaja, nak mengundi baru orang besar nak turun tengok orang yang sakit, sana sini yang kanser .
“Tapi sebelum mengundi tidak pula nak datang tengok?
“Saya bercakap bukan untuk satu parti atau menuju parti satu sahaja tapi semua parti yang bertanding, yang calon bebas tu bertanding macam tak bertanding lagilah. Senyap sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Masalah yang patut diutamakan, menurut Yuzlizawati, bukan hanya datang berjumpa pengundi dan bersembang kosong tetapi bertanyakan isu-isu setempat dan memberi perhatian masalah yang membelenggu penduduk.
Seperti jalan yang berlubang, katanya, ia sepatutnya diselesaikan sejak dahulu lagi namun sehingga kini kawasan-kawasan perindustrian khususnya dipinggirkan kualiti jalannya.
“Jalan raya banyak lubang-lubang sana sini, tahulah ada kawasan perindustrian tapi yang laku bukan lori sahaja hari-hari. Saya pun lalu, orang tak bawa (memandu) lori pun lalu,” tambahnya.
Bagi seorang lagi pengundi PRK Sungai Kandis, Norashikin Rustam, 33, (gambar bawah) masalah setempat tidak selesai sejak pemerintahan Pakatan Harapan dahulu lagi.
Justeru, dia mahu Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang memberikan perkhidmatan kepada rakyat kali ini.
“Lebih baik lagi BN yang menjadi Adun di sini banyak masalah pun di sini tidak selesai dari isu sampah tengoklah di…. sampah menggelikan walaupun bukan di tempat tinggal saya tapi di bawah DUN Sungai Kandis kan.
“Kenapa dari PKR pegang dulu sampai sekarang tak pernah selesai?
“Jadi kalau begitu baik bagi pembangkang (BN) sahaja,” ujarnya.
Bagi Norwati Osman pula, 50, (gambar bawah) selama dia menetap di Jalan Kebun, pembangunan tidak diselaraskan ke semua kawasan.
Hanya segelintir kawasan sahaja dakwanya kelihatan dibangunkan seperti Batu 7 Jalan Kebun berbanding Kampung Baru 1 dan Kampung Baru 2.
“Hanya ditumpukan Batu 7, Jalan Kebun. Sini agak berbeza. Kadang jalan yang rosak, isu sampah lambat diselesaikan di tempat lain laju sahaja selesai masalah.
“Sepatutnya di bawah satu kawasan semua kena buat selaras, kena laju sama,” katanya.
Jadi, Norwati berharap jika wakil rakyat baharu di DUN itu daripada PKR, dia mahu khidmat yang diberikan.
“Harap-harapnya macam arwah (Shuhaimi Shafei). Saya mengenali calon PKR ini (Mohd. Zawawi Mughni) sebagai orang sekampung dan harap dia (Zawawi)dapat jalankan tanggungjawab dengan bukan sahaja amanah tapi cepat dan pantas,” katanya.
Esok merupakan hari pengundian bagi DUN Sungai Kandis yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PKR dan seorang calon bebas.-MalaysiaGazette