KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah melibatkan kematian personaliti popular, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman di Kota Kinabalu, pagi tadi.
Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri di bilik hotel kira-kira pukul 11 pagi oleh sepasukan anggota polis yang terdahulu menerima maklumat daripada orang awam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner, Habibi Majinji berkata, polis masih menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital bagi mengenal pasti punca sebenar kematian allahyarham.
“Berdasarkan siasatan awal, polis menerima maklumat mengenai perkara itu oleh orang awam dan sebaik membuat pemeriksaan di bilik hotel mangsa pada pukul 11 pagi tadi, mangsa difahamkan sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan juga mendapati, allahyarham sudah berada di negeri ini sejak 31 Julai lalu dan setakat ini, kita tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam insiden berkenaan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut atau sudden death report,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Sementara itu, tinjauan di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, pada petang tadi mendapati jenazah mangsa kini berada di bilik mayat untuk tindakan lanjut.
Sekitar pukul 1.55 petang tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan isterinya, Datin Seri Suriyani Shuib turut berkesempatan untuk melawat jenazah allahyarham.
Allahyarham Mahadzir, 61, pernah dilaporkan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada September lalu kerana masalah penyakit paru-paru dan buah pinggang.
Difahamkan, jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur pada jam 7.40 petang ini melalui penerbangan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus semua pengurusan selesai oleh ahli keluarganya. – MalaysiaGazette