Home Ekonomi Dua tahun untuk lihat impak SST

Dua tahun untuk lihat impak SST

SST

KUALA LUMPUR – Impak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0 hanya boleh dilihat selepas dua tahun pelaksanaannya.

Pengerusi Kumpulan Axelasia Inc,, Dr Veerinderjeet Singh berkata penilaian tahunan perlu dilakukan, seperti yang dilakukan setelah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

“Tempoh masa dua tahun akan memberikan kita idea mengenai apa yang silap dan apa yang boleh ditambah baik, sama ada hasil yang diperoleh memenuhi tahap yang dijangkakan atau merosot kurang daripada unjuran. Penilaian boleh berasaskan sasaran kutipan dan keberkesanannya,” katanya.

Veerinderjeet berkata, tempoh masa dua tahun mencukupi memandangkan SST sudah pun dilaksanakan sebelum ini, dan bukan tiga tahun yang ditetapkan oleh Bank Dunia untuk melihat sama ada sistem ini stabil.

“Tempoh itu (dua tahun) sudah memandai untuk melihat sama ada kita perlu melihat pilihan lain,” katanya pada sidang media selepas Seminar SST2.0.

Sambil menunggu pelaksanaan SST 2.0 pada September, Veerinderjeet berkata, setakat ini sudah pun ada penambahbaikan termasuk had RM500,000 yang ditetapkan, sama seperti GST.

“Menetapkan satu had sahaja akan lebih mudah diurus. SST lama mempunyai had yang berbeza untuk pelbagai jenis perniagaan dan sektor. Oleh itu, had baharu merupakan inisiatif yang baik,” katanya.

Berdasarkan had jualan RM500,000, anggaran bilangan peniaga berdaftar bagi SST dianggarkan 100,405 berbanding 479,023 di bawah GST.

Menurut Veerinderjeet, perkara baharu yang diperkenal dalam SST 2.0 ialah kemudahan serahan pemfailan, pembayaran dan aplikasi secara dalam talian, yang memanfaatkan peluang penggunan teknologi pemfailan elektronik seperti dilakukan untuk GST.

“SST lama memperlihatkan isu pengilang perantara memohon pengecualian, supaya hanya produk akhir yang dikenakan cukai jualan. Selain itu pengecualian diberikan untuk bahan mentah dan komponen untuk produk eksport.”

“Selain itu, pengilang yang mahukan pengecualian, perlu memberikan jaminan bank sebanyak nilai cukai yang dipohon untuk dikecualikan. Ini memerlukan banyak urusan dengan Jabatan Kastam,” katanya.

Menerusi aplikasi dalam talian, proses ini akan menjadi lebih mudah dan cekap, dan pada masa yang sama menghapuskan interaksi bersemuka, yang mungkin menjurus kepada rasuah, katanya.

Veerinderjeet juga berkata, banyak kos yang perlu dikeluarkan oleh syarikat untuk membangunkan sistem maklumat dan teknologi (IT) bagi GST, malangnya ini bukanlah tumpuan kerajaan.

“Kami tidak tahu jumlahnya, namun syarikat multinasional besar sudah pasti membelanjakan jumlah yang besar untuk IT bagi mengintegrasikan sistem GST,” katanya.

Bagaimanapun, peralihan kepada SST tidak akan melibatkan kos yang lebih banyak, kerana ia lebih mudah dan satu peringkat.

Satu lagi kelebihannya ialah sistem perakaunan GST sebenarnya membantu banyak syarikat menangani isu-isu dalam perakaunan mereka dan menjadikannya lebih cekap untuk memastikan setiap item dikesan.

Ini membantu SST, kata Veerinderjeet.