JAKARTA – Indonesia bersetuju untuk menyerahkan kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita di Bali pada awal tahun ini kepada Malaysia.
Kapal Equanimity disita pada Februari lalu atas perintah pihak berkuas Amerika Syarikat, sebahagian daripada siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman negara itu terhadap firma tersebut.
Mahkamah Indonesia pada April lalu telah mengisytiharkan kapal berkenaan telah secara tidak sengaja ditahan dan perlu diserahkan semula kepada pemiliknya.
Bagaimanapun, polis Indonesia menahan semula kapal itu pada bulan Julai lalu susulan permintaan rasmi dari Amerika Syarikat.
Polis Indonesia berkata, pihaknya akan menyerahkan kapal itu kepada Malaysia tetapi tidak menyatakan tarikh.
“Kapal itu akan diserahkan di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia.
“Kami harus mengekalkan hubungan baik antara dua negara,” kata Timbalan Jenayah Khas dan Ekonomi, Daniel Silitonga kepada Reuters.
Tambahnya, kapal tersebut kini masih berada di perairan sempadan Singapura dan Batam.
Sumber memberitahu Reuters, keputusan untuk menyerahkan kapal berkenaan kepada Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir telah melawat Indonesia pada Jun lalu – kunjungan rasmi pertama di rantau ini selepass menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette