SHAH ALAM – PKR mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis apabila calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dengan majoriti 5,842 undi.
Mohd Zawawi mendapat 15,427 undi, manakala Lokman 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy hanya mengumpul 97 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zahrin Mohd Saad kira-kira jam 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 di sini, malam ini.
Kemenangan Mohd Zawawi tidak menjadi kebanggaan bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH) berikutan jumlah undi diperolehinya merosot sebanyak 8,571 undi berbanding yang diperoleh penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu sebanyak 23,998 undi.
Kemerosotan jumlah undi yang diperolehi Mohd Zawawi dan Lokman dipengaruhi faktor pengundi yang keluar mengundi hanya 49.4 peratus daripada 51,217 pengundi berdaftar.
Bagaimanapun, sebelum ini SPR menyasarkan 80 peratus keluar mengundi.
Lokman juga gagal menambah jumlah undi yang diperolehi calon BN terdahulu, Datuk Kamaruzzaman Johari sebanyak 11,518 undi, apabila sekadar mampu mengumpul 9,585 undi iaitu berkurangan sebanyak 1,933 undi.
Kekurangan jumlah undi Mohd Zawawi dan Lokman menimbulkan tanda tanya, kenapa penyokong PKR seramai 8,571 tidak keluar mengundi dan apakah Lokman tidak mendapat sebarang undi daripada ahli dan penyokong Pas?
Dalam pertandingan empat penjuru PRU14 yang lalu, calon Pas, Mohd Yusof Abdullah mendapat 7,573 undi, manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin hanya meraih 76 undi.
PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimie pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
DUN Sungai Kandis adalah nama baharu bagi Sri Andalas selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lalu.
Bagi PRK ini, SPR menggunakan Daftar Pemilih Suku Pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai lalu, yang mengandungi 51,230 pengundi berdaftar termasuk 51,217 pengundi biasa dan 13 pengundi tidak hadir luar negara.
Turut hadir pada majlis pengumuman keputusan PRK adalah Mohd Zawawi, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood; Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. – MalaysiaGazette